Hukum Doktor Lelaki Merawat Pesakit Wanita


Penyakit di dunia ini tidak mengenal siapa kita, kaya atau miskin, baik atau jahat. Penyakit boleh mendatangi kita bila-bila sahaja, jika kita tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Faktor-faktornya amat banyak seperti makanan yang banyak kandungan bahan kimia, udara yang tidak elok untuk pernafasan, kesan-kesan asap rokok, kenderaan, kilang, penularan wabak-wabak penyakit yang pelik dan berbagai lagi faktor yang membolehkan seseorang itu terdedah dan terkena kepada penyakit.

Semua manusia di dunia hari ini berhajat kepada doktor untuk membuat rawatan atau sebagainya. Oleh itu, jika ramai yang sakit, sudah pasti permintaan terhadap doktor amat tinggi.

Maka hal ini telah menjadi masalah kepada kaum perempuan yang ingin mengambil rawatan dengan doktor lelaki, kerana doktor wanita tidak mencukupi. Begitu juga sebaliknya. Apabila pesakit lelaki meminta rawatan daripada doktor perempuan, kerana terhadnya doktor lelaki di tempat-tempat yang tertentu.

Oleh sebab pada zaman yang semakin maju ini, masalah ini amat penting, kerana ia melibatkan diri dan kesihatan insan. Maka syariat ada memberi kelonggaran yang luas dalam perkara ini.

Para ulama telah sepakat bahawa boleh bagi doktor untuk melihat tempat sakit perempuan. Misalnya, perempuan sakit di bahagian perut, maka doktor hanya boleh merawat dan melihat di kawasan perut sahaja, selain daripada itu, haram bagi doktor untuk melihatnya.

Terdapat tiga dalil yang mengharuskan doktor lelaki merawat pesakit wanita.

Pertama : Para ulama telah sandarkan perkara ini kepada hadis Nabi SAW, tatkala Ummu Salamah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam. Maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.

Nabi SAW berkata, 

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجِمَهَا
Maksudnya: “Bahawa Ummu Salamah telah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam, maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2206)
Maka berdasarkan hadis sahih ini, para ulama telah memberi hukum bahawa boleh bagi perempuan yang sudah atau belum baligh, dirawat oleh doktor lelaki yang bukan mahram. Namun para ulama ada meletakkan garis-garis panduan semasa melakukan rawatan, yang mana jika panduan itu tidak dilaksanakan, maka akan jatuh kepada hukum haram.

Kedua : Adalah berdasarkan dalil daripada ijmak iaitu kesepakatan semua para ulama tanpa terkecuali. Semua para ulama tidak ada yang terkecuali mengharuskan bagi wanita ajnabi yang sudah baligh dirawat oleh doktor lelaki. Namun, dalam rawatan tersebut, para ulama ada menggariskan beberapa panduan penting yang mesti dipatuhi.

Ketiga : Dalam keadan darurat, iaitu hukum asal bagi melihat perempuan ajnabi ialah wajah dan tapak tangan. Namun apabila terjadinya keadaan yang darurat seperti sakit, maka lelaki atau doktor lelaki boleh merawatnya jika ada kemampuan untuk merawat. Hukum haram akan bertukar menjadi harus apabila dalam keadaan yang benar-benar darurat.(Badaae’ as-Sonaae’, 6/2962)

Selain itu, apabila hanya dibenarkan untuk melihat bahagian yang sakit. Sudah pasti tidak akan terasa syahwat apabila melihat kawasan yang sakit tersebut. Maka tidak menjadi masalah untuk doktor lelaki melihat bahagian yang sakit sahaja, tanpa melihat bahagian yang tidak sakit.(Aun al-Bari, 4/375)

Wallahu a’lam. 

0 Response to "Hukum Doktor Lelaki Merawat Pesakit Wanita"

Post a Comment